Buat julung kali dalam sejarah program akademik sekolah, Majlis Anugerah Kecemerlangan Maktab Sabah akan dilaksanakan secara rasminya menerusi alam maya. Walaupun keadaan tidak mengizinkan secara fizikal disebabkan pandemik COVID-19 yang masih belum reda, pihak sekolah mencari jalan dan mencapai satu persetujuan untuk meneruskan majlis ini yang menitikberatkan kepentingan pencapaian akademik dan kokurikulum murid di alam persekolahan.
Rasionalnya adalah untuk mengekalkan semangat berusaha gigih dan saing sihat dalam memperbaiki dan meningkatkan pencapaian murid-murid. Pastinya ini dapat mengekalkan mutu pembelajaran mereka.
Selain daripada menghargai setiap usaha murid, majlis ini juga bertujuan menyemarakkan semangat juang dan kerjasama di antara murid, guru dan ibu bapa demi mencapai kecemerlangan yang berterusan.
Seterusnya, majlis yang akan dilaksanakan pada 11 September 2021, Sabtu mulai jam 9.30 pagi melalui aplikasi Zoom mensasarkan semua murid cemerlang peperiksaan dalaman dari Tingkatan 1,2,3 dan 4. Majlis ini juga merakamkan jasa para murid cemerlang peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang telah berjaya menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran pada tahun 2020. Tidak lupa juga para murid yang mengangkat naik dan mengharumkan nama Maktab Sabah melalui sumbangan mereka dalam bidang sukan dan aktiviti kokurikulum.
Seramai 204 orang murid dikenal pasti mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Antaranya adalah seramai 23 orang murid cemerlang yang memperoleh Anugerah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 manakala bagi Anugerah Pentaksiran dan Peperiksaan Dalaman pula adalah seramai 102 orang. Selanjutnya, bagi Anugerah Kokurikulum, Anugerah International Competitions And Assessments For School (ICAS) dan Anugerah Nilam, masing-masing berjumlah 30, 6 dan 4 orang. Selain itu, seramai 24 orang murid juga diberi penghargaan dan pengiktirafan melalui Anugerah Khas iaitu Anugerah Pendidik untuk Khidmat Bakti pemimpin murid, Anugerah Majlis Perancang Sekolah(MPS) untuk atlet yang berketerampilan, Anugerah Old Sabah Collegian Association(OSCA) iaitu Kecemerlangan Kokurikulum, Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) melalui Khidmat Cemerlang, Anugerah Pengetua bagi pelajar yang Cemerlang Akademik dan Anugerah Perdana bagi Tokoh Pelajar. Ini adalah antara anugerah yang dipertandingkan.
Majlis yang bertemakan 'Maktab Sabah Dihatiku' ini diserikan lagi dengan perasmian oleh Yang Berbahagia Datin Seri Panglima Dr. Hajah Nuinda Binti Haji Alias, Pengetua Cemerlang JUSA C Maktab Sabah. Moga program ini dapat menyuntik semangat murid dan memberi dorongan agar mereka sentiasa cemerlang dalam bidang yang diceburi pada masa datang.