Minggu Orientasi Pelajar Tingkatan 6 Kohort 2022/2023 telah disempurnakan dengan pelaksanaan program Seminar Kepimpinan Aspirasi Keluarga Malaysia sebagai penutup tirai. Program ini telah dianjurkan bersama oleh Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan; Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Sekolah Menengah Maktab Sabah di Pusat Tingkatan Enam Maktab Sabah baru-baru ini.
Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai kepimpinan yang berdaya maju dalam kalangan anak muda berorientasikan masa depan, memupuk rasa kebertanggungjawaban belia terhadap negara serta memberi kefahaman kepada anak muda tentang peranan mereka di dalam Aspirasi Keluarga Malaysia. Kandungan program yang meliputi ceramah, aktiviti dalam kumpulan, tayangan multimedia, kuiz dan sesi perkongsian pandangan berjaya menarik tumpuan dan minat para pelajar yang terlibat. Antara isu yang dibincangkan adalah Rukun Negara, UNDI 18, AKTA A1642 dan Fakta Pengasingan Kuasa di Malaysia.
Aktiviti berkonsepkan Kepimpinan Aspirasi Keluarga Malaysia ini menjadi lebih meriah dan mesra dengan penglibatan kedua-dua kohort pelajar Tingkatan 6 Atas dan 6 Rendah seramai 250 orang, diiringi oleh 30 orang guru akademik tingkatan 6 sekolah tersebut bersama pegawai-pegawai dari Kem Wawasan Negara Kundasang serta Pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Majlis penutupan seminar ini telah disempurnakan oleh Datin Shonitah Terang, Ketua Kem KWN Kundasang dan disaksikan oleh Puan Hajah Nurani Fauziah binti Derin, Pengetua Sekolah Menengah Maktab Sabah bersama Encik Fauzee Pelih, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Tingkatan Enam, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.