PROGRAM BICARA AKADEMIK 2026

19 JUN 2026 | JAM 7:00 PAGI

KOTA KINABALU : Slogan keramat sekolah, “Super Champion“, yang ditekankan oleh Pengetua Cemerlang Maktab Sabah bukan sekadar untuk melahirkan murid yang lulus, malah membentuk modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, rajin berusaha, dan sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi. Sehubungan dengan itu, program ini memberi peluang kepada guru-guru untuk memberikan nasihat serta membincangkan kemajuan pembelajaran, pentaksiran, dan sahsiah anak didik mereka bersama-sama ibu bapa demi masa depan mereka.

Dalam usaha mendedahkan murid-murid Maktab Sabah kepada pendidikan bermutu tinggi, pihak sekolah telah menganjurkan program Bicara Akademik Maktab Sabah Tahun 2026. Program ini dilancarkan bagi memacu kecemerlangan semua murid, dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Program ini bermula pada pukul 7:00 pagi hingga pukul 11:30 pagi.

Pada seawal jam 7:00 pagi, suasana sekolah menjadi meriah dengan kedatangan ibu bapa yang hadir untuk mengambil keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) bersama anak mereka. Program ini dijalankan di dua lokasi berbeza secara serentak, di mana murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 ditempatkan di dalam kelas masing-masing manakala murid Tingkatan 5 berada di Dewan Perdana Maktab Sabah bagi mengikuti acara khas bersama-sama dengan Pengetua sekolah. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Sabah Tanah Airku serta bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh Ketua Murid Lelaki, Dinie Zuhair bin Sakka. Majlis disempurnakan lagi dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Radzi Amaran.

Pada tepat jam 7:40 pagi, acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada murid-murid Tingkatan 5 yang berjaya mendapat keputusan 5A dan ke atas. Hadiah ini diberikan sebagai tanda penghargaan atas usaha keras mereka, sekaligus menaikkan lagi semangat mereka untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

Seterusnya, agenda utama iaitu sesi Bicara Akademik bermula pada jam 8:30 pagi. Pada waktu inilah ibu bapa, murid, dan guru kelas duduk berbincang bersama-sama sewaktu penyerahan slip Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) dijalankan. Program akhirnya berjalan dengan lancar dan selesai sepenuhnya pada jam 11:30 pagi sebelum semua yang hadir bersurai.

Oleh itu, program ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada murid untuk terus cemerlang serta bersemangat dalam menuntut ilmu di masa hadapan kelak. Melalui prgram ini juga, perkembangan akademik dan pembentukan sahsiah murid dapat dinilai secara telus demi memastikan potensi optimum mereka dapat digilap supaya dapat menjadi Super Champion yang diharapkan oleh sekolah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top